Wednesday, April 28, 2010

Perluaskan Skop memberi Salam

Hadith 1
Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru r.a. sesungguhnya seorang pemuda telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai apakah Islam yang paling baik: "Maka jawab Baginda Rasulullah : "Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenali dan yang tidak dikenali"
Hadith 2
Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi sesungguhnya Nabi s.a.w. telah melewati satu majlis terdapat di dalamnya orang-orang Islam dan Yahudi maka baginda telah memberi salam kepada mereka.
Hadith 3
Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya : Janganlah kalian memulakan salam kepada orang Yahudi dan Nasrani jika kamu berjumpa seseorang dari mereka di jalan maka paksalah ia berjalan di tepi."
Syarahnya :
Walaupun mereka kafir zimmi (kafir yang dilindungi) lantaran memulakan memberi salam adalah bererti kemuliaan yang diberikan kepada mereka oleh kerana orang-orang Islam tidak harus memuliakan mereka maka usahlah memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Nasrani).
Memaksanya jalan ke tepi adalah suapaya dia berjalan di tempat yang lebih sempit, jika terdapat dinding maka biarkan mereka rapat ke dinding tersebut. Perintahkan mereka supaya jangan berjalan di tengah jalan bahkan jalan di kedua tepinya. Ini adalah sebagai balasan untuk akibat meninggalkan jalan yang lurus (agama Islam)

Monday, April 26, 2010

Kualiti Umat Akhir Zaman Seperti Buih

( Nabi Muhammad Amat Bangga Pada Umatnya Yang Ramai
tapi Berapa Ramaikah Yang Berkualiti? )

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan" Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak,sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda nabi, "Cintakan dunia dan takutkan mati ".

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Berhubung dengan hadith ini, as-Syeikh Said Hawa dalam al-Madkhal Ila Dakwah al-Ikhwan Al-Muslimin berkata, " Sejak runtuhnya kerajaan Uthmaniyah di Turki, umat Islam menjadi seperti yang disebutkan oleh hadith ini. Inilah penyakit yang menyerang umat Islam pada hari ini. Umat kehilangan kekuatan sehingga menjadi ringan dan terus hanyut di bawa arus. Bagaimanakah cara bagi menghentikan keadaan ini? Kita sebenarnya bertanggungjawab menerapkan nilai kebenaran pada umat dan seterusnya memproses umat ini sehingga mereka mempunyai nilai-nilai Islam yang kukuh, yang memampukan mereka melahirkan arus mereka sendiri.".

faktor-faktornya seperti berikut:

Kurang didikan agama dikalangan golongan masyarakat

Hari ini, jika kita perhatikan masyarakat kita dihanyutkan atau dimomokkan secara berlebihan dengan hiburan dan kemewahan dunia. Islam tidak menghalang atau melarang umatnya daripada mencari kesenangan dan kemewahan dunia, tetapi ianya haruslah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Hal ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, " Carilah oleh mu kehidupan akhirat, tetapi jangan kau lupa bahagian mu di dunia " Bahkan Allah S.W.T. di dalam Al-Quran sendiri secara jelas memerintahkan kita agar sentiasa mencari kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Jika kita lihat pada hari ini, mereka yang terlibat dalam gejala sosial, hingga melibatkan perkara aqidah adalah di kalangan membesar jauh dari Al-Quran.

Mereka ini kebanyakannya tidak pernah membaca apatah lagi mengetahui makna Al-Quran itu sendiri. Saya amat yakin dan percaya, sekirannya pembudayaan kepada pembaca Al-Quran seterusnya penerusan melalui kaedah pemahamannya yang berterusan, masalah dan gejala sosial yang melanda masyarakat kita pada hari in mampu untuk di atasi.

Kurang rasa penghormatan kepada golongan Ulama’dan Ilmuwan Islam

Para ulama’ dan ilmuwan Islam adalah mereka yang sentiasa berusaha untuk menjunjung Al-Quran dan As-sunnuh sebagai panduan dan pedoman umat. Mereka sentiasa berikhtiar untuk menjaga kemashalatan dan kebajikan masyarakat, Justeru, mereka sentiasa memberian pandangan dan pendapat terhadap sesuatu isu dan permasalahn yang dihadapi oleh negara dari kaca mata dan perspektif agama.

Malanglah, golongan ini sering kali ditohmahan yang tidak enak seperti golongan ulama’ yang jumud dan tidak terdedah pada arus kemodenan. Harus diingat bahawa golongan ini tadak sama sekali anti kepada pembangunan, tetapi pembangunan itu hendaklah seiring dengan pembangunan rohani dan spiritual yang selaras dengan ajaran Islam. Nah, beginilah jadinya sekiranya pandangan dan nasihat yang sering di keluarkan oleh golongan ini dianggap remeh dan tidak seiring dengan edaran masa.

Saturday, April 24, 2010

Doa harian Bersumberkan Hadith Rasulullah s.a.w


DOA KETIKA PAGI DAN PETANG

~ Doa Memohon ilmu, rezeki dan Amalan diterima

" Ya Allah, aku bermohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amalan yang
diterima."
( Riwayat Ibnu Majah dan Imam Hambal )
~ Doa Memperbaiki Urusan Agama dan Dunia

" Ya Allah, perbaikilah urusan agamaKu, yang menjadi pegangan hidupku, perbaikilah urusan duniaku, yang menjadi kehidupanku dan perbaikilah urusan akhiratku, yang menjadikan tempat kembaliku, dan jadikanlah kehidupan sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, dan jadikanlah kematian sebagai kerehatan bagiku daripada setiap keburukan."

( Hadis daripada Abu Hurairah )

DOA KETIKA MENUNTUT ILMU

~ Doa Memohon Dikurniakan Ilmu dan Hikmah

" Ya Allah, ajarkanlah dia (kandungan) kitab (al-Quran) ."

(Hadis daripada Ibnu Abbas)

~ Doa Penerang Hati dan Mendapat Petunjuk

" Ya Allah, ilhamkan petunjuk kepadaku dan jauhilah aku kejahatan dari diriku. "
(Riwayat at-Tirmizi)
DOA SEHARI-HARIAN
~ Doa Ketika Tidur
" Dengan nama Engkau Ya Allah, aku hidup dan aku mati "
(Riwayat Bukhari)
~ Doa Setelah Bangun Tidur
" Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kita setelah mematikan kita dan kepadaNya kita dikembalikan."
( Riwayat Bukhari daripada Huzaifah al-Yamani dan Abu Zar )
~ Doa Masuk Tandas
" Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina. "
( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas Ibnu Malik )
~ Doa Keluar Tandas
" Aku memohon keampunanMu. Segala puji bagi Allah yang menghilangkan kekotoran dari badanku dan sihatkanlah aku. "
( Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi )
~ Doa Melihat Wajah Di Cermin
" Ya Allah Engkau elokkan tubuhku, maka eloklah pula akhlakku, jauhilah wajahku dari neraka. Segala puji bagi Allah yang mencipta tubuhku sebaik-baiknya dan memuliakan bentuk mukaku sebaik-baiknya, dan menjadikan aku dikalangan orang Islam "
( Riwayat Ibn Hibban, Ibn Mardwiyah dan at-Thabarani dari haids Abdullah Ibnu Mas'ud, Aisyah dan Anas Ibnu Malik )
~ Doa Ketika Membuka Pakaian
" Dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. "
( Riwayat Ibnu Sunni daripada Anas Ibnu Malik )
~ Doa Ketika Memakai Pakaian
" Ya Allah aku memohon kepadaMu dari kebaikannya dan kebaikan yang berada bersamanya, dan aku berlindung kepadaMu dari kejahatannya dan kejahatan yang berada bersamanya. "
( Riwayat Ibnu Sunni dari Abi said al-khudri )
~ Doa Ketika Wuduk
" Ya Allah ampunilah dosaku, lapangkan rumahku dan berkatilah rezekiku"
( Riwayat An-Nasa'i dan Ibn as-sunni)
~ Doa Selepas Berwudhuk
" Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya; dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan RasulNya; Ya Allah, jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bertaubat dan daripada kalangan orang yang bersuci. "
( Riwayat Muslim dan at-Tirmizi daripada Umar bin Al-Khattab )
~ Doa Selepas Azan
" Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkans seruan azan dan solat yang akan didirikan, kurniakan kepada junjungan besar Nabi Muhammad keutamaan dan kelebihan, kemuliaan dan darjat yang tinggi serta limpahkan padanya makam yang terpuji yang telah Engkau janjikan."
( Riwayat Bukhari dari Jabir Bin Abdullah )
P/S : Hanya sebahagian doa-doa harian yang kita baca dan amalkan yang membezakan ada hadith yang menyebut dari mana datangnya doa ini dan maksud doanya.. Seperti juga perumpamaan yang mudah bila kita baca surah dalam solat lebih elok (Afdal) kita faham maknanya lagi lagi surah Muqqadimah Al-Quran yakni Surah Al-Fatihah. Insya-Allah.. Amalkan bersama..

Wednesday, April 14, 2010

Setiap Amalan Bergantung Kepada Niatnya



Diriwayatkan daripada Amirul Mukminin Abu Hafsh 'Umar bin Khahtab r.a., ia berkata : Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

" Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan ia memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dihijrahkan kepadanya "

Hadith ini diriwayatkan oleh dua Imam, iaitu:
  • Imam Al-Bukhari (Abu 'Abdullah Muhammad Bin Isma'il)
  • Imam Muslim (Abu Husain Muslim bin Al-Hajjaj)

Sebab Hadith Ini Timbul

Riwayat ath-Thabrani dengan para perawinya yang dipercayai, dari Ibnu Mas'ud r.a., ia berkata:

" Dikalangan kami terdapat seorang lelaki yang melamar seorang perempuan yang bernama Ummu Qais, tetapi dia menolaknya kecuali jika lelaki sedia berhijrah, maka lelaki itupun berhijrah dan menikahinya. Maka kami menamainya Muhajir Ummu Qais "

Intisari Hadith

1. Seseorang itu tidak boleh berhajat untuk melakukan sesuatu perbuatan melainkan ia mengetahui hukumnya.

2. Niat itu tidak boleh diwakil.

3. Pekerjaan seseorang itu tidak sah apabila tidak disertai dengan niat, semua pekerjaan yang tidak disertai dengan niat itu tidak sah.

4. Tidak boleh berniat dalam semua perkara kecuali apabila perkara itu disyariatkan.

5. Keutamaan berhijrah dari negeri orang-orang musyrik ke negeri-negeri orang Muslim demi mencari keredhaan Allah atau berhijrah dari negeri yang penduduknya penuh maksiat ke negeri yang penduduknya bebas dari maksiat.

6. Ikhlas berbuat sesuatu kerana Allah S.W.T dan berwaspada dari sikap menunjuk-nunjuk dan mencari populariti.

7. Niat itu tempatnya di hati. Adapun melafazkan (mengucapkan) niat di lisan itu tidak ada tuntutannya dalam syariat.

Thursday, April 1, 2010

Pembuka Lembaran Hadith..


APA ITU ILMU HADITH?


Ilmu Hadith bermaksud : Kaedah-kaedah yang digunapakai untuk mengetahui dan menilai kedudukan perawi (sanad) dan lafaz (matan) Hadith. Melalui kaedah ini seseorang itu dapat mengetahui kedudukan atau martabat sesebuah hadith dengan mengkaji sifat-sifat perawi dan jumlah mereka serta kesahihan matan hadith yang diriwayatkan menjurus kepada kedudukan sesebuah riwayat sebagai dalil atau hujah baik dalam akidah mahupun syariat.


Menggunakan kaedah ini, ulama Muhadithin mampu mengumpulkan hadith-hadith yang berselerak dan bercampur aduk kategorinya di tangan umat Islam dan membentuk khazanah berharga untuk panduan umat Islam serta dapat mengkategorikan jenis-jenis Hadith seperti : Hadith Sahih, Hadith Hassan, Hadith Dha’if, Hadith Maudhu’, Hadith Qudsi, Hadith Marfu’, Hadith Mansukh, Hadith Mu’an’an, Hadith Mursal dan dengan adanya jenis-jenis Hadith ini dapat memberi panduan kepada manusia tentang perlunya mengetahui serta berhati-hati dalam penggunaan Hadith.

PENGERTIAN AL-HADITH

Pengertian Bahasa

· Membawa maksud pengkhabaran

Firman Allah S.W.T. :

Dan sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad perihal Nabi Musa)

(Surah Taha 20 : 9)

Firman Allah S.W.T. :

Sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang menimpa) kaum-kaum yang menentang (rasul-rasul yang telah diutuskan kepada mereka)?

(Surah Al-Buruuj 83 : 12)

Firman Allah S.W.T. :

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahasia kepada salah seorang isterinya..

(surah Al-Tahrim 66 :3)

· Membawa erti percakapan.

Sebagaimana Firman Allah S.W.T :

Di hari itu orang-orang kafir dan orang-orang yang mendurhakai rasul, ingin supaya mereka disamaratakan dengan tanah (mereka dikuburkan atau mereka hancur menjadi tanah) dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun.

(Surah An-Nisa 4 : 42)

Firman Allah S.W.T :

..dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) dari pada

Allah ?

(Surah An-Nisa 4 : 87)

· Juga membawa maksud keterangan

Sebagaimana Firman Allah S.W.T :

Maka apakah kamu merasa hairan terhadap keterangan –keterangan al-

Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)?

(surah An-Najm 53 : 59)

Sebagaimana Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari:

Sebaik-baik hadith adalah kitab Allah’’

· Juga membawa maksud mimpi.

Dan Demikianlah Tuhanmu, memilih kamu untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta'bir mimpi-mimpi

(Suruh Yusof 12 : 6)

· Akhirnya membawa erti cerita dan kisah.

Firman Allah S.W.T :

Kemudian kami utus (kepada umat-umat itu) rasul-rasul kami berturut-turut. tiap-tiap seorang Rasul datang kepada umatnya, umat itu mendustakannya, Maka kami perikutkan sebagian mereka dengan sebagian yang lain. dan kami jadikan mereka buah tutur (manusia)..

(Surah Al-Mukminum 23 : 44)

Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang dirawayatkan oleh al-Bukhari:

وحدثوا عن بني اسرائيل ولا حرج

Kamu boleh meriwayatkan kisah daripada Bani Israil.


Pengertian Istilah

· Segala apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. baik berupa ucapan, perbuatan, sifat, dan pengakuan , baik sebelum diutuskan sebagai rasul atau selepas perutusan

· Menurut pendapat ahli hadith, al-hadith ialah sesuatu yang telah diriwayatkan dengan keizinan daripada Nabi Muhammad s.a.w. , baik mengenai perbuatanm percakapan atau perkataan, kelakuan, ikrar atau penerangan tentang sifat atau cirri-ciri fizikal baginda yang zahir.

· Dalam konteks lain, sesentengah ulama’ mengatakan hadith ialah apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang merangkumi ucapan baginda yang zahir.

· Ibnu hajar berpendapat Hadith ialah apa apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

· Al-Narawi berpendapat, hadith ialah apa-apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w daripada perkataan, perbuatan, diam, setuju, gerak laku, dan diam masa tidur atau jaga.